7 Artis Muda Berjimba di Kampus dalam Jimba Fest Tour 

Berjimba di kampus! Mengapa tidak? Setidak-tidaknya ia mampu mendekatkan penyanyi serta pengkarya seni muzik tempatan dengan golongan belia di kampus Institusi Pengajian Tinggi.

Pada waktu yang sama, ia mampu memberikan pendedahan kepada golongan belia kampus tentang kreativiti seni muzik serta hal-hal berkaitan dengan industri muzik tempatan.

Inilah usaha yang cuba dilakukan pihak Warner Music Malaysia (WMM) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi)  dalam melancarkan siri jelajah Jimba Fest Tour yang bakal menggegarkan enam (6) lokasi terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia sepanjang  September hingga November tahun ini.

Dengan membawa menampilkan artis-artis berbakat di bawah naungan label WMM seperti Alif, Amir Hasan, Andi Bernadee, Awi Rafael, Aziz Harun, Kaka Azraff dan Wan Shahjuddin, Jimba Fest Tour ini sebenarnya dalah penjenamaan semula kepada siri jelajah kampus ‘IPT Tour’ yang dijayakan WMM sejak tahun 2012.

Penjenamaan semula nama siri jelajah kampus ini kepada nama yang lebih komersil dan mengikut trend ini, sesuai dengan penggunaaan semasa istilah slanga ‘Jimba’ yang membawa maksud ‘berseronok atau bersuka ria’ di kalangan anak muda Malaysia.

Selain Alif, Amir Hasan, Andi Bernadee, Awi Rafael, Aziz Harun, Kaka Azraff dan Wan Shahjuddin, Jimba Fest Tour ini turut dijayakan penyanyi terkenal seperti seperti Nora Ariffin, Datin Alyah, Altimet dan Aizat Amdan di lokasi-lokasi terpilih.

Sebagai permulaan, pada 16 September 2018 siri jelajah Jimba Fest Tour akan berlangsung di lokasi pertama iaitu di MesaMall, Nilai, Negeri Sembilan. MesaMall merupakan satu-satunya lokasi luar kampus yang dipilih berikutan ianya menjadi pusat tumpuan pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi yang berdekatan, seperti Universiti Nilai (Nilai U), Universiti Antarabangsa INTI (IIU), Universiti Antarabangsa Manipal (MIU) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Berikut merupakan senarai penuh tarikh dan lokasi siri jelajah Jimba Fest Tour:

 

TARIKH LOKASI
16 September 2018  (Ahad) MesaMall, Nilai, Negeri Sembilan.
20 Oktober 2018 (Sabtu) Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Batu Pahat, Johor.
26 Oktober 2018 (Jumaat) Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
31 Oktober 2018 (Rabu) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.
10 November 2018 (Sabtu) Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.
26 November 2018 (Isnin) Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka.

Nantikan siri jelajah Jimba Fest Tour sepanjang September hingga November yang akan datang!

Pada anda yang ingin mengenali artis-artis bawah naungan label WMM, boleh terus layari laman web rasmi Warner Music Malaysia di pautan ini: http://warnermusic.com.my.

About jambubatuonline

An entertainment and lifestyle website

View all posts by jambubatuonline →

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.