Manifestasi Cinta Aizat Amdan Dalam ‘Sampai Ke Hari Tua’

Penyanyi dan komposer berbakat besar, Aizat Amdan kini kembali dengan single terbaru berjudul “SAMPAI KE HARI TUA”. Ini merupakan single pertama Aizat setelah bernaung dibawah Warner Music Malaysia. “SAMPAI KE HARI TUA” merupakan karya ciptaan penuh Aizat sendiri. Single ini diterbitkan dan diedarkan oleh Warner Music Malaysia.

Single yang berkonsepkan pop balada ini, digarap santai dengan petikan gitar akustik dan efek perkusi sebagai elemen utama. Meskipun tema cinta adalah subjek yang selalu
diangkat dalam karya seni tetapi Aizat tetap memilih tema sejagat ini sebagai elemen penceritaannya dalam “SAMPAI KE HARI TUA”. Mengambil ilham kisah cinta orang sekeliling, melalui “SAMPAI KE HARI TUA” Aizat memanifestasikan hubungan cinta yang
kekal membara hingga ke hujung usia.

Video muzik rasmi “SAMPAI KE HARI TUA” telah pun dimuatnaik di saluran Youtube Vlog Aizat pada 15 Februari 2018. Sehingga kini lebih 1.3 juta pelayar telah menonton video muzik tersebut. Diarahkan oleh Al Fahim Mokhtar dan diterbitkan oleh Lokalab, video muzik rasmi “SAMPAI KE HARI TUA” menyajikan sajian visual yang santai dan tampak romantis.

Bertepatan dengan tema sejagat yang diangkat dalam “SAMPAI KE HARI TUA”, Aizat bakal melancarkan versi terbaru “SAMPAI KE HARI TUA” dalam Bahasa Hindi. Filem Bollywood dan lagu Hindustan yang sinonim dengan kisah cinta romantis merupakan pencetus idea kepada versi terbaru “SAMPAI KE HARI TUA” ini.

“Projek “SAMPAI KE HARI TUA” versi Hindi ini kami buat out of our love for Bollywood movie and songs. Dari kecil Bollywood memang diterima baik di Malaysia so kami fikir nak cuba buat sesuatu yang baru untuk peminat Aizat. Kalau ikut lagu versi original pun sudah ada elemen-elemen Hindustan di permulaan lagu. Jadi bila diberi peluang untuk buat versi lain. Kami fikir cubaan untuk buat versi Hindi ini sangat menarik. Kami diberi pertolongan oleh kawan rapat kami Jassi yang berbangsa India. Lirik hindi diterjemahkan oleh Jassi. Dan beliau juga turut terlibat dalam sesi rakaman untuk memastikan sebutan dan nyanyian Aizat itu betul. Selain itu kita juga ada Rojer (penyanyi Hindi) dan Ude (pemain sitar) untuk melengkapkan muzik kami,” jelas Anas Amdan yang juga penerbit rakaman“SAMPAI KE HARI TUA”.

Bila ditanya sekiranya ada versi lain yang bakal menyusul, abang kandung kepada Aizat ini turut menyatakan, “Sejujurnya kami nervous. Tapi saya lihat contoh Shila Amzah berani belajar menyanyi bahasa lain dan berjaya di pasaran antarabangsa, saya fikir Aizat pun patut cuba. Dulu ayah kami pun pernah cadangkan supaya Aizat cuba menyanyi dalam Bahasa Mandarin Mandarin. Mungkin lepas ni ada “SAMPAI KE HARI TUA” versi Mandarin! InsyaAllah.”

Versi Hindi “SAMPAI KE HARI TUA” boleh didapati dikesemua pelantar digital bermula 27 April 2018 manakala versi Mandarin bakal dirakam dan akan dilancarkan secara tentatif pada 11 Mei 2018.

Setelah projek vlognya menerusi saluran YouTube Vlog Aizat mendapat sambutan menggalakkan, kini Aizat melancarkan laman webnya sendiri sebagai medium pusat setempat untuk peminat mengikuti perkembangan terbarunya. Menerusi laman web ini, Aizat akan berkongsi segala informasi aktiviti seninya termasuk muzik, video, gambar, maklumat, merchandise, jadual persembahan dan projek terbaru Aizat. Laman web Aizat boleh dilayari menerusi www.theaizatamdan.com.

Sempena dengan single “SAMPAI KE HARI TUA”, Aizat turut melancarkan couple tee atau
kemeja-T untuk pasangan kekasih. Pengeluaran dan penjualan couple tee berdasarkan single lagu merupakan pertama seumpamanya di Malaysia dan Aizat merupakan artis tempatan pertama yang tampil dengan idea tersebut.

“SAMPAI KE HARI TUA” sudah tersedia di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music sejak 16 Februari 2018. Manakala video muzik “SAMPAI KE HARI TUA” pula boleh ditonton di saluran Youtube Vlog Aizat.

 

About jambubatuonline

An entertainment and lifestyle website

View all posts by jambubatuonline →

Leave a Reply