Tidak Lagi ‘Stereotype’ Akim & The Majistret Kini Beralih Ke EDM, K-Pop, Pulau Jeju

Band popular tempatan, AKIM & THE MAJISTRET, tampil dengan buah tangan terbaru berjudul “Stereotype”.

Sekali mempertaruhkan karya mereka sendiri, singleStereotype” merupakan hasil gandingan Akim Ahmad dan Zimi yang masing-masing menggunakan nama pena, Hang Nadim dan Laq. Ianya diterbitkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment, syarikat rakaman milik Akim dan isterinya, Stacy Anam dengan kerjasama Nova Music sebagai pengedar.

Menerusi singleStereotype”, AKIM & THE MAJISTRET  menengahkan konsep Retro Rock EDM.

Kali ini kami cuba konsep baru yang belum pernah dibuat lagi di Malaysia. Konsep dalam “Stereotype” itu lebih kepada stail muzik itu sendiri. Namun kami tetap mengekalkan bunyi khas kami yang selama ini membezakan kami dengan band lain,” kata Zimi atau nama lengkapnya Zarimi Zahari.

Lari dari tema cinta, “Stereotype” mengambil tema tentang perwatakan manusia egois.

Saya dapat idea lirik ni, bila kami duduk bercerita pengalaman kami masa sekolah dulu. Lagu ni sebenarnya pasal lelaki ego tinggi, yang acah hebat, ingat dia je yang betul, macam dunia ni berputar hanya kerana dia. Saya percaya semua org pun ada kawan mcm ni,” jelas Akim tentang sumber inspirasi kepada lirik yang ditulisnya.

Bila ditanya tentang metafora berbaur kritikan sosial dalam lirik “Stereotype”, Akim menjawab,“Ya. Memang ada kaitan dengan isu semasa, tetapi bukan isu  di Malaysia saja malah di seluruh dunia. Sebagai penggiat seni, saya cuba zahirkan apa yang berlaku di sekeliling kita melalui karya saya”.

Muzik video “Stereotype” dirakam sepenuhnya di PLAY K-POP yang terletak di Jeju Jungmun Resort, Pulau Jeju, Korea Selatan. PLAY K-POP merupakan taman tema digital yang menggabungkan teknologi media baru dan muzik k-Pop. Muzik video “Stereotype” ini menampilkan kelainan apabila ianya dirakam diruang digital yang penuh dengan imej digital, 3D dan hologram bintang-bintang k-Pop.

 

 

Mengenai AKIM & THE MAJISTRET 

Bermula sebagai band projek pada tahun 2014, eksperimentasi AKIM & THE MAJISTRET ternyata berhasil apabila berjaya melangkah sejauh hari ini dan mencipta jenama sendiri sebagai band tempatan arus perdana terunggul masa kini.

Dianggotai lapan anak muda berbakat iaitu Akim selaku penyanyi, Wan (pemain dram), Freddy (gitaris utama), Gjie (gitaris kedua), Zimi (gitaris ketiga), Fairuz (pemain bass), Afiez (pemain keyboard). Dan Rajwan (Digital Drum ).

Gabungan Akim dan enam pemuzik daripada band-band popular tempatan ternyata berjaya mencipta fenomena tersendiri.

Sejak meluncurkan single berhantu “Mewangi” pada tahun 2014 dan album sulung mereka, “Patriot” pada tahun 2015, AKIM & THE MAJISTRET meraih kejayaan demi kejayaan yang membanggakan termasuk dinobatkan sebagai Juara Lagu dan Persembahan Terbaik menerusi lagu Potret di Anugerah Juara Lagu 30 (AJL30), Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH 3.0).

AKIM & THE MAJISTRET yang kini bergerak sendiri, semakin rancak merencana perjalanan seni mereka. Tahun 2017 menyaksikan AKIM & THE MAJISTRET memartabatkan muzik mereka dalam satu konsert perdana yang diadakan di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur.

Tahun 2018 pula menyaksikan AKIM & THE MAJISTRET membuka lembaran seni mereka dengan mengadakan konsert berskala besar buat julung kalinya di pentas berprestij Esplanade, Singapura pada Januari yang lalu. Suatu pencapaian yang seharusnya dibanggakan apabila band tempatan yang baru berusia setahun jagung berjaya menawan hati peminat di Kota Singa.

AKIM & THE MAJISTRET beraspirasi untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti dan berazam untuk memartabatkan muzik Malaysia dengan melebarkan sayap mereka ke luar negara.

About jambubatuonline

An entertainment and lifestyle website

View all posts by jambubatuonline →

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.