Kejayaan Pentas Dayang Nurfaizah Di Singapura

Dayang Nurfaizah berjaya melakar sejarah peribadi apabila konsert Espalanade Presents: Pentas Dayang Nurfaizah di Esplanade, Singapura yang berlangsung pada malam tadi bukan sahaja menyaksikan tiket habis dijual, malah ia sekaligus pelengkap kepada profil kerjaya penyanyi bersuara emas ini.

Konsert tersebut merupakan konsert sulung Dayang di pentas berprestij itu dan juga yang pertama kalinya di republik itu. Tetapi ramai yang tidak tahu atau perasan bahawa sepanjang karier seni Dayang, buat pertama kalinya inilah konsert solo Dayang yang boleh disifatkan sebagai skala besar berbanding dengan persembahan-persembahan yang pernah dipentaskan sebelum ini.

Pastinya konsert ini mencatat kenangan manis buat Dayang apabila bukan saja dapat beraksi di pentas yang lebih besar dan berprestij, tapi ianya juga dipersembahkan di depan lebih 1,500 penonton yang memenuhi panggung. Bak kata orang, tiket sold out, panggung full house!

 

26158179_2034443016812781_1545216692072742912_n.jpg
Foto: Instagram @rz.works

 

Penyanyi kelahiran Sarawak itu mengatakan bahawa konsert itu berjaya atas sokongan peminat. “Saya berada di sini atas permintaan peminat. Disebabkan mereka juga, saya berjaya merealisasikan konsert ini. Apa saya boleh katakan, konsert ini adalah kembara muzik saya sepanjang lebih 20 tahun berada dalam industri muzik tanah air.”

Menerusi konsert yang berlangsung selama dua jam itu Dayang menyanyikan sebanyak 25 buah lagu termasuk segmen tribute untuk Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, dalam rangkaian lagu ciptaan komposer tersebut yang pernah dirakam dan dimuatkan dalam album Dayang.

Tambah istimewa, Dayang turut menyanyikan rangkaian lagu irama Melayu langgam dan asli seperti Selamat Tinggal Bungaku, Syurga Di Telapak Kaki Ibu dan Fatwa Pujangga, dengan alunan lenggok Melayu yang merdu diringi muzik yang minimalis. Cukup melankolik!

 

25036111_1600376750030327_5664866678635233280_n
Foto: Instagram @rz.works

 

Antara lagu popular Dayang yang dipersembahkan dalam konsert itu seperti Lelaki Teragung, Di Pintu Syurga, Seandainya Masih Ada Cinta, Sedingin Mana Cintamu, Dia dan Separuh Mati Ku Bercinta.

Team Jambu Batu mengucapkan tahniah buat Dayang atas kejayaan yang dicipta ini. Harapan kami (dan semua peminat Dayang) agar Dayang akan mendapat peluang mengadakan konsert berskala besar di tanahair pula pada masa akan datang. In Sha Allah.

 

Kredit Youtube marzouqmatein

Kredit Youtube Nafisz Daniel

About jambubatuonline

An entertainment and lifestyle website

View all posts by jambubatuonline →

Leave a Reply