Lepas Tamat Graduasi, Tomok Nasihat Adik-Adik Supaya Rajin Belajar

Segak sungguh Tomok apabila mengenakan jubah sewaktu dia dan pelajar-pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (BCIM) Kuala Lumpur Universiti Utara Malaysia (UUM) menamatkan graduasi mereka.

Dengan senyuman penuh ceria, Tomok menunjukkan baju graduasi kelas pertama yang dikenakannya itu sambil memberikan nasihat yang berguna buat adik-adik di luar sana.

Kata Tomok: “Adik-adik di luar sana…belajar rajin-rajin ya…Jangan Ponteng kelas…..”

Ha… Dengar tuh adik-adik semua. Itulah yang dikatakan Tomok sewaktu menjalani latihan pementasan Cinta Pertama The Musical.

Jubah graduasi tersebut adalah sebahagian daripada wardrobe (pakaian) yang bakal digunakan dalam pementasan Cinta Pertama The Musical yang akan diadakan di Dewan Muadzam Shah, Sintok, Kedah pada 11 Disember 2017 (esok malam).

Dalam pada itu, Tomok memberitahu dia dan rakan-rakan bersungguh-sungguh untuk membuat persembahan Cinta Pertama The Musical ini dengan sebaiknya.

“Semua orang perlu memberikan komitmen yang sepenuhnya, begitu juga dengan diri saya sendiri,” katanya.

Tomok adalah sebahagian daripada teraju utama Cinta Pertama The Musical yang mana dia akan melakonkan watak sebagai dirinya sendiri. Selain menyanyi dan berlakon, Tomok juga bertanggungjawab mengetuai bacaan ikrar pelajar-pelajar UUM pada pementasan itu nanti.

Malah, dia juga akan memanaskan suasana dengan persembahannya yang pasti akan menghiburkan semua.

Selain Tomok, Cinta Pertama The Musical turut dijayakan Pekin Ibrahim, Fattah Amin, Aril, Zahid, Haziq, Maulana, Akma Abdullah, Layka, PU Helmi, Hafiz (Dunia Baru) dan Amir Syazwan.

Turut terlibat adalah Ashraf Asimudin (Achap- Pretty Ugly) , Azran Hamzah (Awe/Aie’z – Quest), Ammar Habir (Drama Band) , Amir Ali  (pemain flute) serta Kautsar Mat Sin (Alam Band) selaku pengarah muzik.

Pementasan muzikal Cinta Pertama yang diarahkan Raja Mukhriz ini adalah projek khas melibatkan 38 orang pelajar-pelajar BCIM/UUM Kuala Lumpur bagi semester kelima bersempena majlis penyampaian Anugerah Dekan yang diberikan kepada mereka yang layak menerimanya.

Berkisar tentang Cinta dan Persahabatan, Cinta Pertama The Musical menggarapkan kisah-kisah mencuit hati di kalangan pelajar-pelajar BCIM/UUM Kuala Lumpur ini sewaktu kali pertama menjejakkan kaki ke universiti terutama apabila melihat rakan seperjuangan sama dan sudah lama dikenali di dalam industri seni turut menyertai jurusan ijazah yang sama.

Kisah mencuit hati ini turut diselangi dengan beberapa konflik yang melibatkan perbezaan ideologi dan pendapat serta ketegangan yang berlaku di antara pelajar muzik dan filem.

Antara lagu yang bakal disampaikan pelajar-pelajar BCIM/UUM di dalam pementasan muzikal ini adalah Coba (Amir SYazwan), medley Cek Mek Molek  & Pencuri Hati (Zahid), 1234u (Fattah Amin), Berlari (Tomok), Aku Yang Sebenar (Aril), medley Gelisah & Dikau Sumber Ilhamku (Haziq) serta  Kuch Kuch Hota Hai (Akma)

Cinta Pertama The Musical dianjurkan pelajar-pelajar BCIM/UUM Kuala Lumpur yang berada di bawah kelolaan Idzwan Yacob dan disokong sepenuhnya oleh UUM. Naib Canselor, Prof Dato’ Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak adalah tetamu kehormat pada malam itu.

About jambubatuonline

An entertainment and lifestyle website

View all posts by jambubatuonline →

Leave a Reply