Akhirnya Penantian Imran Dan Najwa Berhasil

Anda tahu apa maksud merinding? Perkataan merinding jarang digunakan namun duet terbaru dari Imran Ajmain dan Najwa Mahiaddin berjudul Sentiasa Merinding. Berkonsepkan R&B Pop dengan dibuai alunan Melayu klasik, lagu ini mula menarik perhatian peminat muzik.

Menurut Najwa, merinding membawa definisi meremang. Mudah digambarkan bahawa dalam sebarang hubungan baik dengan teman lelaki, suami, ibu dan bapa, kita selalu memupuk elemen keterujaan tersebut dalam berkasih-sayang.

Tidak terkecuali, merinding merujuk kepada pemahaman Imran: “Ia adalah perkataan yang tidak biasa digunakan dalam bahasa Melayu. Jadi, kalau pengertian biasa, saya faham ia sebagai meremang. Pada waktu sama, saya ingin mengikis persepsi negatif sebilangan pihak bahawa ia tidak terhad digunakan bagi situasi menyeramkan. Hakikatnya, banyak hal boleh dikaitkan dalam soal ini.”

Sentiasa Merinding adalah hasil idea antara Najwa dan juga Imran sendiri. Sebenarnya kedua penyanyi ini sudah memasang niat untuk berduet bersama. Setelah 11 tahun barulah niat itu termakbul.

“Menariknya, proses menghasilkan lagu ini tidak mengambil masa panjang berbanding penantian kami selama ini. Kami rekod pada awal tahun ini bersama Faiz Rosli di studio yang berlainan dengan durasi satu hingga dua jam sahaja. Cuma pembetulan dan proses hendak membersihkan vokal berjalan selama dua minggu,” kata Imran.

Selain tercipta alunan mendamaikan Sentiasa Merinding buat halwa telinga peminat, single ini juga memunculkan sebuah video muzik yang menampilkan tema hitam putih arahan Zul Luey dari Luey Motion Lab menjalani penggambaran di sebuah studio pada penghujung Mac lalu.

“Saya berharap agar peminat yang mula mengikuti saya sejak lagu Seribu Tahun akan mendengar dan menghargai Sentiasa Merinding sekali gus menjadi batu loncatan buat saya agar terus menghasilkan karya lebih berkualiti selepas ini.” akhiri Imran sambil menganggap kerjasama dengan Najwa diibarat impian menjadi kenyataan.

Kredit foto: @theshahrulizzat // @sukasucrestudio

About jambubatuonline

An entertainment and lifestyle website

View all posts by jambubatuonline →

Leave a Reply