Zahid Tunjuk Skil Ala Linda Jasmine Dalam Pementasan Muzikal Cinta Pertama

Selepas Di Bawah Lindungan Kaabah, kini penyanyi Zahid yang juga pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal jayakan pementasan muzikal Cinta Pertama The Musical di Dewan Muadzam Shah UUM di Sintok, Kedah pada 11 Disember 2017.

Menariknya selain berlakon serta membawakan dua buah lagu secara medley di dalam pementasan iaitu Cek Mek Molek yang dipopularkan Dato M Daud Kilau serta Pencuri Hati (Ayda Jebat), Zahid juga turut bertindak ala-ala Cikgu Linda Jasmine apabila diberi mandat untuk memikul tanggungjawab sebagai kareografer  bagi  lagu-lagu yang melibatkan aspek tarian di dalam pementasan muzikal tersebut.

“Selain membuat kareografi lagu-lagu yang saya nyanyikan sendiri, saya juga turut membantu kareografi untuk lagu-lagu lain seperti Don’t Stop Believing, Lagu Jiwa Lagu Cinta serta Standing In The Eyes.

“Tetapi ini bukanlah kali pertama saya membantu untuk membuat kareografi tarian. Waktu terlibat dengan Gempak Selebriti dan Gempak Rockabola, saya sudah pernah melakukannya yang mana saya turut dikehendaki untuk berlakon dan menyanyi.

“Malah, saya turut terlibat di dalam Marhaban Astro serta pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah,” katanya kepada Jambu Batu Online.

Namun, Zahid mengakui Cinta Pertama The Musical ini adalah sebuah projek yang sangat istimewa.

“Istimewanya Cinta Pertama The Musical adalah kerana ia merupakan  sebuah projek kelas di mana 38 pelajar-pelajar jurusan Ijazah Sarjana Pengurusan Industri Kreatif UUM di Kuala Lumpur bergabung idea dan kepakaran masing-masing untuk menjayakan pementasan ini,

“Walaupun projek ini dilakukan dalam tempoh  masa yang singkat, namun kesemua rakan pelajar-pelajar telah berikan komitmen yang sangat  baik. Saya cukup bangga dapat berada di dalam jurusan kelas ini. Apa yang kami lakukan ini, mungkin boleh dijadikan kayu ukur untuk pelajar-pelajar lain ikut sama,” katanya lagi.

Pementasan muzikal Cinta Pertama yang diarahkan Raja Mukhriz ini adalah projek khas melibatkan 38 orang pelajar-pelajar BCIM/UUM Kuala Lumpur bagi semester kelima bersempena majlis penyampaian Anugerah Dekan yang diberikan kepada mereka yang layak menerimanya.

Berkisar tentang Cinta dan Persahabatan, Cinta Pertama The Musical menggarapkan kisah-kisah mencuit hati di kalangan pelajar-pelajar BCIM/UUM Kuala Lumpur ini sewaktu kali pertama menjejakkan kaki ke universiti terutama apabila melihat rakan seperjuangan sama dan sudah lama dikenali di dalam industri seni turut menyertai jurusan ijazah yang sama.

Pementasan ini turut dijayakan Pekin Ibrahim, Fattah Amin, Tomok, Aril, Zahid, Haziq, Maulana, Akma Abdullah, Layka dan Amir Syazwan. Turut terlibat adalah Ashraf Asimudin (Achap- Pretty Ugly) , Azran Hamzah (Ayie/Awe – The Quest), Ammar Habir (Drama Band) , Amir Ali  (pemain flute) serta Kautsar Mat Sin (Alam Band) selaku pengarah muzik.

Cinta Pertama The Musical dianjurkan pelajar-pelajar BCIM/UUM Kuala Lumpur yang berada di bawah kelolaan Idzwan Yacob dan disokong sepenuhnya oleh UUM. Naib Canselor, Prof Dato’ Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak adalah tetamu kehormat pada malam itu.

Bakal dipentaskan di Dewan Muadzam Shah di Sintok Kedah pada 11 Disember 2017 ini, Cinta Pertama The Musical turut dibuka kepada orang luar. Bayaran yang dikenakan hanyalah sebanyak RM5 sahaja.

About jambubatuonline

An entertainment and lifestyle website

View all posts by jambubatuonline →

Leave a Reply