ELLA: Simfoni Gemilang 30 Tahun Ratu Rock

Satu nama, satu jenama, hanya dia. Tiada dua, tiada tiga, hanya dia. Figura ini menghambakan diri ke dalam dunia seni selama 30 tahun. Tiada seorang pun yang boleh menggantikan tempatnya. Ella, satu nama yang memiliki auranya tersendiri. Ratu Rock Malaysia gelaran yang diberi masih kekal sehingga kini. Sememangnya dia ratu yang sentiasa bertakhta di hati setiap lapisan masyarakat.

P1240606

Bertempat di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur telah berlangsungnya Ella “Live” with the MPO – A Rock Queen’s Journey selama dua hari berturut-turut bersama 90 pemuzik yang dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose. Paling hebat apabila buat pertama kalinya Orkestra Filhamonik Malaysia (MPO) berkolaborasi dengan legenda rock tempatan. Sebelum ini MPO berkolaborasi dengan figura tempatan dari pelbagai genre muzik termasuk pop, jazz, etnik dan sebagainya, tetapi untuk genre rock ini adalah pertama kali seumpamanya.

 

P1240623

Kolaborasi ini dilihat sebagai sangat tepat kerana pemilihan genre rock untuk dipersembahkan di MPO sangatlah terbaik lebih-lebih lagi ramai yang menantikan persembahan dari Ella. Interpretasi simfoni MPO ke atas lagu-lagu rock klasik Ella dipersembahkan dengan struktur muzik dan naratif yang lebih beremosi dan dramatik. Anda bayangkan apabila lagu rock di-orkestra- kan. Sangat berbeza!

Ella tetap Ella. Di mana pun beliau membuat persembahan, tetap dengan cara tersendiri. Membawakan lebih dari 10 buah lagu, penonton terpaku dengan kelunakan suara Ella beserta alunan orkestra yang padu. Ternyata ianya merupakan satu pengalaman muzik yang unik. Rata-rata yang hadir adalah peminat Ella, ternyata menyanyi bersama-sama Ella. Antara lagu yang dipersembahkan Nuri, Permata Biru, Layar Impian, Sembilu, Gemilang, Standing in the Eyes of the World, Pengemis Cinta dan banyak lagi.

Tetapi pilihan team Jambu Batu ialah lagu Pedih kerana susunan muzik yang dibuat oleh MPO ternyata sangat berbeza. Kalau diikutkan semua pun best! “Sebenarnya dua hari berturut-turut, Ella rasa berdebar, gemuruh dan sebagainya. Sangat mencabar kerana susunan muzik berbeza. Ella perlu memasuki dunia orkestra itu sendiri. Sangat lain! Ella gembira kerana ia suatu perkara baru buat Ella walaupun perasaan gusar itu ada”, cerita Ella.

 

 

Bagi pemilihan lagu,Ella dan Ahmad Muriz Che Rose memilih bersama-sama. “Kami bincang bersama-sama mengenai lagu apa yang sesuai kerana kita tidak mahu merosak sesebuah lagu. Bila sudah pilih, maka kita buat susunan dan lihat apa hasilnya. Itu pun kita perlu touch up sana sini. Ia sangat mencabar kerana kita perlu buat susunan yang baru. Walaupun saya rasa masa tidak cukup, tetapi alhamdullilah ia berjaya. Dan inilah hasilnya”, ujar Muriz.

Konsert dua malam yang habis terjual, ternyata mencipta sejarah tersendiri buat Ella dan DFP. Pastinya kini darjat Ella sebagai ikon rock sudah melangkau ke kelas yang lebih tinggi. Kami kira konsert ini merupakan acara yang paling sempurna sebagai penutup kepada sambutan gilang gemilang 30 tahun karier seni Ella pada tahun ini. Tiada yang lebih sempurna daripada ini.

Tahniah buat ELLA dan terima kasih DFP kerana memberikan sajian terbaik buat peminat genre rock!

Photo credit: Courtesy of Malaysian Philharmonic Orchestra/Dewan Filharmonik PETRONAS

About jambubatuonline

An entertainment and lifestyle website

View all posts by jambubatuonline →

Leave a Reply